Tuesday, April 5, 2011

Trofi penyuntik semangat





BAGAI menyorot ramalan dan percaturan ramai pihak media, aktor popular yang mencetus fenomena melalui Adnan Sempit dan Ngangkung yang mencatat kutipan ‘box-office’, Shaheizy Samad Sam, 29, berjaya merangkul anugerah Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010), kelmarin.
Pengunduran penghibur terkenal, Datuk Siti Nurhaliza daripada terus dicalonkan jelas membuka laluan kepada wajah baru untuk merampas gelaran itu selepas berada selesa dalam genggamannya sebanyak tujuh kali selain 13 kali untuk kategori Penyanyi Wanita Popular.

Kemenangan Sam sudah dijangka berdasarkan sambutan penonton terhadap dua filemnya itu mencatat kutipan RM7.8 juta dan RM8.4 juta, meyakinkan Sam mempunyai ramai peminat. Sam mendapat pengiktirafan utama itu dengan undian 126,168 undian.
Acara kemuncak majlis kali ke-24 ini cukup menarik apabila dua bintang popular Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) yang turut mencecah kutipan RM8 juta, Johan dan Usop Wilcha diberi penghargaan mengumumkan keputusan itu. Telatah Usop berkerusi roda dengan aksi goyang tangan yang menjadi trademarknya dalam filem arahan Mamat Khalid itu, bukan saja mencuit hati penonton malah menggamatkan acara sepanjang hampir tiga jam majlis berlangsung.
Malah tindakan spontan Sam membawa ibunya, Khaty Fauziah ke pentas siap dengan kerusi roda menjadikan detik kemuncak itu seperti satu drama sedangkan semua itu berlaku secara spontan. Ketika keputusan diumumkan, anak kelahiran Kuala Lumpur ini sibuk ditemuramah di luar dewan.Sam menerima anugerah itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times (M) Sdn Bhd (NSTP), Datuk Anthony Bujang dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Sebelum itu, Sam diumumkan menang Pelakon Filem Lelaki Popular menewaskan Aaron Aziz, Syamsul Yusof, Remy Ishak dan Bront Palarae.

Sam yang ditemui selepas selesai majlis, tidak dapat menahan air matanya. Adik pelakon Zizie Ezette ini menyifatkan kemenangannya bagai sebuah simbolik kepada impiannya yang tersembunyi sejak kecil lagi di awal pembabitannya dalam dunia lakonan.
Meneliti jauh ke dalam matanya, Sam menyimpan seribu satu cerita indahnya. Lama terdiam, menahan sebak di hati sebaik diajukan persoalan mengenai tindakannya yang turut memimpin ibunya ke pentas dan berkali-kali mengucup di depan khalayak, aktor berbakat besar ini mula mengalirkan air matanya.
“Mummy adalah inspirasi dan insan yang patut saya raikan dengan kemenangan ini. Sepanjang menjadi pelakon sejak kecil, dia adalah satu-satunya peminat yang tidak pernah mematahkan semangat sebaliknya sentiasa setia menyokong minat saya. Trofi ini adalah untuknya."

“Mungkin saya emosi kerana mengimbau semula detik kami sekeluarga. Mummy membesarkan saya sendirian tanpa suami lama dulu, namun setiap ruang dalam diri saya dididik sempurna olehnya. Dia sentiasa meletak saya di atas kepentingannya sendiri selain percaya, suatu hari nanti saya akan dapat apa yang diinginkan. “Justeru saya begitu berterima kasih kepadanya serta keluarga yang setiap masa berdiri bersama. Malah paling penting ingin saya ekspresi, peminat adalah segala-galanya kerana tanpa mereka, tidak mungkin saya diangkat setinggi ini,” katanya.

Katanya, pengiktirafan diberi sebagai pembakar semangat dan trofi Bintang Paling Popular dianggap sesuatu yang ajaib dalam kerjayanya sebagai pelakon.

“Jujurnya, saya pernah terfikir betapa seronoknya menjulang gelaran ini ketika melihat pemenang-pemenang lalu. Namun jauh di hati, saya sedar semua itu mustahil memandangkan saya melihat publisiti serta pesona popular itu begitu jauh daripada diri. “Selama ini, tiada apa yang menarik mengenai saya untuk diperkatakan selain soal kerjaya. Justeru, mana mungkin saya berpeluang memegang trofi itu. “Ada benarnya kata Mummy dan keluarga, kadang-kadang kita tidak dapat melihat setia peminat yang sanggup mengundi. Buktinya, saya menang malam ini. Ia memang satu cenderahati atas usaha selama ini.

“Trofi ini adalah penyuntik semangat untuk saya melakukan sesuatu yang lebih baik di masa depan. Mungkin ini juga satu tanggungjawab kepada saya agar sentiasa peka dan berusaha untuk membayar semula segala sokongan peminat yang tidak henti berdiri di belakang,” katanya.



kredit to myMetro

No comments:

Post a Comment